Sunday, September 14, 2014

Jemaah PERMAI

Bismillah.. ^^

Tahun ini sudah tahun ke 3, saya melibatkan diri secara langsung dalam gerak kerja persatuan pelajar di sini. Saya bermula dengan hanya menjadi pembantu kepada AJK kecil program dan hari ini, sebagai seorang Timbalan Presiden. Saya menjadi saksi kepada turun naik, pasang surut mengenai segala perkara berkaitan PERMAI. Dan dalam tempoh yang pendek inilah, terlalu banyak perkara berubah.

Sahabat-sahabat,
Dalam tempoh 3 tahun ini, PERMAI berubah dengan pantas. Dari sumber tenaga kerja sehinggalah ke sambutan kebanyakan program. Kemerosotan demi kemerosotan adalah perkara yang sering menjadi rungutan kami di meja pimpinan. Hari ini, semakin sukar untuk mencari ahli aktif. Pertambahan ahli PERMAI saban tahun seolah-olah tidak mengubah apa-apa dari sudut produktivitinya. Tenaga kerja terpaksa dikitar orang yang sama kerana hakikatnya, memang mereka sahaja yang menawarkan diri. Sambutan program semakin hambar. Prestasi akademik tidak kurang kemerosotannya. Ya, memang sepatutnya perkara ini diselesaikan di meja pimpinan, namun hari ini saya luah agar kita semua, ahli persatuan ini sama-sama fikir kerana memang kebuntuan sedang melanda kami, 26 Ahli Majlis Mesyuarat.

Realiti yang pahit ini saya luahkan agar kita semua mampu berfikir dan bersatu memainkan peranan kita sebagai ahli persatuan. Sungguh persatuan ini tidak akan ke mana-mana tanpa kalian, ahli yang menganggotai setiap sayapnya.

Dalam bab ini, saya tidak mahu menuding jari mencari salah orang lain. Apa yang saya yakin, setiap dari kita perlu muhasabah kembali, sejauh manakah kita semua memainkan peranan masing-masing baik sebagai pemimpin mahupun ahli biasa dalam menggerakkan persatuan milik kita ini.

Besar harapan saya, untuk melihat sahabat-sahabat baharu, dan semua ahli persatuan dapat berganding bahu menggerakkan gerabak persatuan kita ini dengan lebih rancak. Di sinilah medannya, kita belajar untuk bersatu dan menggerakkan masyarakat kita.

Sahabat-sahabat,
Ramai di antara kalian yang bertanya mengenai gerakan NGO dan jemaah yang wujud di sini. Mungkin kalian pun sudah didedahkan dengan perkara ini sejak di pusat persediaan lagi. Ini perkara normal. Di mana-mana universiti pun pasti akan dapat pendedahan yang sama baik secara formal mahupun tidak. Inilah petanda bahawa kalian sudah melangkah ke alam yang baharu, sebagai seorang pemuda, seorang belia dan lebih penting, seorang mahasiswa.

Di sini, 3 tahun yang saya alami, adalah 3 tahun yang pantas, terhadap perubahan mentaliti ahli dan perkembangan segala gerakan yang wujud. Semuanya berlaku secara mendadak secara formalnya dalam tempoh ini. Di tahun pertama, sebuah gerakan/jemaah NGO diiktiraf di bawah MPMMJ. Kemudian, di tahun kedua, sebuah lagi gerakan/jemaah NGO diiktiraf. Di tahun ini pula, sebuah gerakan/jemaah NGO memilih untuk bergerak secara rasmi tanpa pengiktirafan. Semuanya terlalu pantas berlaku.

Mungkin terlalu awal untuk saya ceritakan semua ini kepada kalian, tetapi keadaan hari ini sangat mendesak. Dalam tempoh seminggu program SPB (Sambutan Pelajar Baru), kami sudah dicelarukan dengan masalah yang rumit sehingga menyusahkan sebahagian besar gerak kerja. Mungkin tahun ini adalah puncak kepada segalanya.

Ada di antara kalian bertanya mengenai panduan memilih jemaah/gerakan NGO.
Secara mudahnya nasihat saya, kalian lihat, dengar dan kajilah terlebih dahulu sebelum apa-apa. Banyakkan bertanya orang sekeliling. Dengar dari banyak pihak. Dapatkan maklumat orang setempat. Di samping itu, boleh juga 'google' serba sedikit maklumat tambahan.

Pandangan peribadi saya, carilah jemaah yang paling dekat dengan persatuan. Yang di dalam dasarnya, ada menekankan mengenai kepentingan bekerja dan membantu menggerakkan persatuan. Membantu bahagian-bahagian dalam persatuan semampu mungkin terutama yang berkaitan dengan aspek dakwah, tarbiyah, program kerohanian dan usrah persatuan. Biarpun ada yang diiktiraf dengan portfolio tertentu, namun ianya tidak menghalang mereka untuk membantu unit- unit lain di bawah PERMAI seperti JKK PMK, JKK PR dan PINTAR. Bukan hanya membantu program yang berkepentingan seperti SPB dan MTS. Pilihlah jemaah yang di dalam usrah mereka ada galakan dan sokongan terhadap dasar-dasar persatuan. Bekerjasama dengan persatuan dalam melaksana segala visi dan misi yang digariskan.

Persoalan ini adalah persoalan asas sebagai anggota persatuan. Sejauh mana aktif pun kalian dalam gerakan masing-masing, jika tidak menyumbang kepada kesatuan dan persatuan, maka apakah maknanya? Asas kepada sebuah khilafah dan daulah itu juga ialah kesatuan. Jika tidak kita latih di sini, maka di mana lagi?



Persatuan ini hanya akan ada bersama kalian dalam tempoh yang sangat singkat. Jika tidak 4 tahun, maka 5 atau 6 tahun. Di sinilah sepatutnya peluang yang diguna untuk berlatih, dan menimba pengalaman dalam kesatuan. Saya sangat yakin, kalan tidak akan jumpa peluang mengurus persatuan pelajar sebegini selepas tamat pengajian. Fikir-fikirkanlah.

Konklusinya, gerakan/jemaah terbaik ialah jemaah yang sentiasa berada di sisi persatuan. Membantu dan sama-sama menggerakkan persatuan. Bukan hanya duduk secara rasmi, tetapi membuat hal sendiri. Saya tidak menghalang kalian untuk menyertai mana-mana jemaah, kerana hakikatnya gerakan sebegini amat penting dalam misi pembentukan peribadi muslim. Cuma apa yang saya mahu kalian sematkan dalam hati, jangan pernah tinggalkan persatuan dan kesatuan ini.

Ariff Solihin Bin Khairul Anuar,
Timbalan Presiden Jemaah PERMAI,
Pengerusi Usrah PINTAR.










No comments:

Post a Comment