Wednesday, April 30, 2014

Separuh Jiwaku..

Bermula agenda ‘separuh’
Aku membuka bekal makanan tengahari. Sejak seminggu lepas ibu menyediakan bekal makanan tengahari buatku. Meskipun aku ingin menolak, tetapi tidak sampai hati pula melihat ibu bertungkus lumus menyiapkan bekal makanan buat aku sebaik sahaja selesai subuh bersama.

Hairan? Mana taknya. Masih ingat kali pertama ibu menyerahkan bekal itu pada aku. Tangan menyambut tetapi mata kepalaku tidak berkelip memandang ibu penuh tanda tanya. Ibu hanya tersenyum dan terus mengarahkan aku bergerak ke tempat kerja.

Sudah seminggu rutin ini berterusan. Aku tidak mahu bertanya kerana takut ibu terasa. Aku cuba mencari-cari jawapan sendiri. Jika kerana rindu.. setelah setengah bulan aku pulang daripada Ireland, barulah ibu mulakan ‘agenda’ beliau ini, kalau benar rindu kenapa tidak mula awal-awal? Takkanlah kerana ibu sakit? Aku menggeleng-geleng menidakkan andaian sendiri.

Aku kembali merenung bekalan makanan itu. Membaca doa dan terus melantak nasi putih lauk ikan patin masak lemak kegemaran aku. Lupa untuk aku maklumkan, semua bekalan ibu sediakan, hanyalah separuh. Nasi itu diletakkan separuh, ikan dipotong separuh, mujur kuah itu tidak mampu nak diseparuhkan. Ya, separuh!

Hairan? Dua kali hairan. Tapi, aku tidak bertanya.


Doktor separuh seterika
Ada sehari itu sewaktu aku dijadualkan on-call, malam sebelum aku masuk bertugas ibu menawarkan diri untuk menggosok bajuku. Alangkah kepalang hati ini. Aku sememangnya penat malam itu.Jadinya, bila ibu ingin membantu, apalagi, orang mengantuk disorongkan bantal. aku teringat kembali memori dulu-dulu zaman sekolah rendah dikala semua baju aku ibu yang gosokkan. Aku jadi tak sabar nak jumpa pagi esok.

Tapi esoknya,tak terjangka, hampir-hampir aku meletup pagi itu. Kerana sudah tahu baju aku telah digosok, aku sengaja melambat-lambat bersiap. Apabila aku nak pakai baju yang ibu gosokkan, Subahanallah!! Ibu gosok separuh, ya separuh!

Dahi aku berkerut-kerut. Aku cuba bersangka baik dengan ibu. Mungkin dia terlupa. Lantas aku mencari-cari seterika untuk habiskan lagi separuh bahagian baju.

‘’Sudah! Mana pulak seterikanya???” Bentak aku diam-diam.

Tunggang terbalik barang-barang aku alihkan untuk mencari seterika. Tak jumpa! Aku mencari ibu dan bertanya tentang seterika. Ibu cakap, “Tiada atas iron board tu ka?”. Aku dah lambat, nak tak nak, baju separuh gosok itu aku sarung jua. Mujur di hospital ada kot putih untuk menyembunyikan rahsia aku pagi itu. 
Selama satu hari setengah aku menyarung baju separuh gosok itu. Tipu jika peristiwa itu tidak menganggu aku. Apabila masa lapang, sewaktu makan, aku asyik terfikir-fikir.

Ibu lupakah?
Kenapa asyik separuh ni?
Seterika pulak dah hilang ke mana?

Spatial neglect
Kerjaya sebagai doktor kadang-kadang mampu membuatkan kita sentiasa berjaga-jaga hatta sekecil-kecil simptom sekalipun. Aku teringat satu penyakit yang berkaitan dengan otak, dimana bahagian otak yang mengesan dan memproses koordinasi objek disekeliling kita rosak separuh menyebabkan otak kita hanya memproses apa yang dilihat di sebelah bahagian sahaja. Kondisi ini disebut, spatial neglect.

Otak kita terbahagi kepada hemisfera kanan dan kiri. Kedua-dua belah bahagian masing-masing ada satu bahagian yang bertugas memproses koordinasi apa yang kita lihat, dengar, sentuh. Jika kita rosak bahagian ini disebelah kanan, maka kita kan mengabaikan objek disebelah kiri. Mengapa begitu? Kerana maklumat dari deria di sebelah kanan akan sampai ke otak kiri dan begitu juga sebaliknya.
Aku menjadi risau. Pulang nanti aku harus memeriksa ibu!


Negative spatial neglect. Misteri berterusan.
Huh! Aku mengeluh berat sambil terbaring atas katil. Merenung siling. Semuanya normal. Kelengkapan, susunan rumah semuanya ibu buat cukup lengkap kecuali apabila tentang aku, separuh. Apa sebenarnya ibu? Aku membuang kemungkinan ibu sakit. Aku pasti ada yang ingin ibu sampaikan. Sifat perempuan yang suka berkias, huishh..menguji sanubari.


Doktor + Surirumah
Jam menunjukkan tepat 6 petang. Aku memusing stereng kereta memasuki perkarangan rumah. Belum sempat keluar dari perut kereta, telefon berbunyi. Ibu.

Aku meletakkan telefon sambil melangkah masuk rumah. Beberapa to-do list berlegar dalam otak. Ibu dan ayah pulang ke kampung secara tiba-tiba. Jadi memandangkan aku yang sulung, ibu menyerahkan tugasan rumah untuk aku uruskan. Agak berat pada mulanya, tapi aku sudah biasa sewaktu di Ireland untuk menguruskan makan pakai sendiri. Cuma kali ini, adik-adik aku yang bertiga pun di bawah tanggungan.

Pinggan mangkuk bertimbun di sinki, semuanya baru dicuci separuh. Ada yang sudah bersabun tetapi belum dibilas.

Baju-baju sudah dimasukkan dalam mesin basuh, separuh sudah disidaikan separuh lagi masih lembap di dalam raga dan masih berbaki yang tidak habis ‘spin’ dalam mesin basuh.

Bahan-bahan untuk masak sarapan esoknya tersedia di dapur dalam keadaan separuh. Bawang yang dikisar separuh, telur yang dipecahkan separuh, separuh daripada 30 keping roti dipotong dua.

Semua separuh.

Amira, adik aku yang paling tua tidur rumah kawan, jadi aku tidak dapat nak minta tolongnya.

Anisah pula ada hari sukan esoknya jadi dia barangkali ingin berehat awal.

Mukhriz pula ada kelas tambahan malam ini. Oh ya! Aku kena jemput dia dari kelas.

Terduduk aku atas sofa. Buat pertama kali aku rasa sangat tak menang tangan. Buat pertama kali aku rasa tulang empat kerat ini tidak mampu. Buat pertama kali aku ingin berbicara tentang kehidupan pada seseorang.

Seusai maghrib aku melakukan satu persatu kerja rumah. To-do list aku tampal besar-besar di dinding ruang tamu. Siap satu tugasan, aku pangkah tugasan itu di to-do list. Tapi aku rasa ada satu yang tak kena. Allahuakbar, Mukhriz!

Cepat aku capai telefon dan menghubungi mukhriz. Nasib baik kelasnya habis agak lewat jadi dia tidak menunggu lama. Aku dengan berkain pelekat terus menuju ke kereta. Terkocoh-kocoh jadinya.
Malam itu penat aku berbeza. Bukan penat pusing-pusing wad hospital. Tapi aku lega dan tenang. Entah.

Rahsia Ibu.
Petang itu aku masih ingat. Pulang dari hospital ibu terus ajak aku makan pisang goreng. Tak sempat-sempat nak tukar baju, aku terus melabuhkan punggung di sisi ibu.  Ibu di atas kerusi dan aku duduk separa tinggi ribanya. Ibu mengelus lembut rambutku. Terasa kasih sayang menjalar di celah jari jemari tua ibu.

Leka mengunyah pisang goreng, tiba-tiba ibu menghulurkan sekeping foto kepadaku. Aku tergamam. Ya, umur 24, apabila dihulur gambar wanita ajnabi, apa kau fikirkan? Haha..Aku juga fikir benda yang serupa.

Kata ibu, semenjak pulang, aku tidak pernah menyentuh soal perkahwinan. Ibu khuatir apa aku tidak bersedia, apa aku tidak mahu. Tetapi ibu enggan bertanya terus.Kata ibu, tidak mahu memaksa.
Lalu, kenapa sekarang ibu? Aku menerbitkan tanda tanya.

Ibu tersenyum dan membuka rahsia.

Rupa-rupanya, agenda ‘separuh’ ibu adalah untuk menilai diriku. Ibu sengaja memberi aku pelbagai tugasan rumah secara tiba-tiba dan berlambak untuk melihat sejauh mana aku mampu mengurus hal-hal rumah dan mengendali situasi yang ‘tiba-tiba’.

Baju yang digosok separuh sengaja untuk lihat bagaimana aku berdepan dengan masalah yang puncanya dari orang lain. Bagaimana respon aku terhadap ibu. Bagaimana aku mengawal emosi.
Kalau benar aku belum bersedia, pasti aku gagal ujian dari ibu.

Bergenang aku mendengar penjelasan ibu. Benarlah, ibu berkias.

Lalu mengapa separuh ibu?Bagaimana dengan makanan yang ibu sedia separuh? Pertanyaan aku belum selesai.

Kata ibu,

Apabila seorang hamba menikah, maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya. Riwayat oleh Imam al-Baihaqi.
Kalau benar aku belum ada kemahuan, ibu ingin terbitkan rasa itu, jelas ibu. Apabila melihat secara zahir benda di sekeliling kita separuh, bukankah kita tercari-cari lagi separuhnya?Bukankah rasa untuk memiliki lagi separuh itu lebih terserlah? Ibu menyentuh lembut bahuku sambil berkata, diluar sana ada seseorang yang tercipta buat melengkapi separuh dari kita.

Terdiam aku. Malu sedikit apabila soal hati dan perasaan ini diungkap.

Sepanjang sekolah menengah aku tinggal di asrama. Selepas SPM, dikala berumur 18 tahun, aku sudah mula cari kerja sambilan, kemudian terus meninggalkan keluarga untuk menyambung pelajaran di Ireland. Jarang aku pulang ke malaysia dan setelah tamat pelajaran, aku pulang berumur 24 tahun. Sudah dewasa kata ibu. Ibu tidak sempat melihat aku membesar menjadi ’gentleman’. Ibu tidak tahu hidup aku bagaimana diluar negara sana. Jadi ibu memilih jalan ini untuk berkomunikasi dengan ‘dalaman’ aku.

Pisang goreng tadi sudah sejuk. Foto yang ibu hulurkan aku pulangkan kepada ibu. Meremang nak tenung lama-lama. Bukan tidak sedia, bukan tidak mahu..Cuma,mungkin, love doesn’t struck me yet?
Tapi wanita ajnabi tu..

Menghitung detik-detik yang berlalu
Aku merenung bekal makanan itu. Rasa nak cuba sesuap, tetapi perut aku tidak mahu menerima apa-apa dek kerna debar di jiwa. Nasi putih berlaukkan ikan patin masak lemak. Kali ini tidak separuh, penuh bekal makanan itu terisi. Aku membaca berulang-ulang nota yang dikepilkan bersama.

‘’Lets grow old together and enter jannah together :) “

Malu. Gembira. Berdebar. Semualah.
InsyaAllah dalam beberapa ketika lagi, aku bakal disatukan dengan separuh jiwaku lagi. Aku tahu selepas itu langit tidak akan selalu cerah, tetapi kelam jua bukanlah selamanya.
Moga Allah redha.


-ditulis dua jam sebelum solemnization-

tammat.

p/s:Selesai sebuah nukilan jiwa, aku membuka laci meja belajar. Laci tempat segala khazanah aku simpan. Jarang sekali aku menulis, tetapi ada satu nota hati yang aku hasilkan sewaktu di tahun tiga sebagai pelajar perubatan. Nota hati aku tulis dikala diriku waktu itu terasa buntu. Satu nota hati pemujuk jiwa.
“tak mengapa tercungap-cungap sekarang, tak mengapa penat-penat sekarang, di akhirat sana kita berehat. Persatuan bukan liabiliti tapi aset! Persatuan bukan ajnabi tetapi separuh dari jiwaku! Aku tersenyum sendiri. Dulu dikala aktif berpersatuan, aku semat di dada bahawa persatuan itu separuh dariku.Yalah, sebagai penggagah semangat sepanjang waktu berkhidmat. Jatuh bangkit persatuan aku paling kuat kena tempias! Itu yang sering aku ingatkan pada diri. Apa yang membina separuh darimu?

[Wan Ajeerah, Ketua Helwi PERMAI 14/15]