Pengorbanan adalah suatu kemestian dalam kehidupan. Dalam setiap cerita kehidupan pasti akan ada episod pengorbanan. Bermula dari pengorbanan seorang ibu yang menaruh kudrat demi melahirkan seorang anak sehinggalah tiba hari tuanya, pengorbanan anak menjadi suatu keperluan untuk mereka. Ia adalah kisah dan kitaran yang sama untuk setiap insan, cerita pengorbanan yang memaknakan sebuah kehidupan.
"lslam itu terbina atas lima perkara: Bersaksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitulLah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Mesej Islam adalah mesej kehambaan kepada Rabbul Jalal, pencipta setiap penjuru alam, baik yang bernyawa mahupun tidak. Hadith mengenai rukun Islam di atas membuktikan betapa mesej kehambaan ini sangat sinonim dengan pengorbanan. Bagaimana sebelum bermula sebarang penyerahan jiwa dan raga untuk Islam, pembuktiannya adalah melalui syahadah yang agung. Kita mengikat diri kita dengan keyakinan kepada Allah dan Nabi Muhammad. Mendahuluinya dari sebarang perkara lain dalam kehidupan. Ia adalah ikatan yang akan kekal sehingga kehidupan selepas mati. Bukan seperti ikatan-ikatan lain yang pernah kita alami sepanjang kehidupan di dunia. Bersama ikatan ini, akan datanglah tuntutan-tuntutan pengorbanan yang mesti kita penuhi sebagai hamba.
Selepas syahadah, tuntutan untuk mendirikan sembahyang datang dalam rukun kedua. Bagaimana sembahyang bisa mengajar nilai pengorbanan? Ia adalah pengorbanan kita membebaskan diri sementara dari segala hal dunia baik yang penting mahupun tidak. Ia adalah satu-satunya masa kita membebaskan diri, minda dan seluruh pancaindera dari sebarang keterikatan dunia. Dalam ibadah lain, kita masih boleh menikmati kenikmatan dunia, tetapi di dalam solat, kita memfokuskan seluruh pancaindera termasuklah penglihatan dan pendengaran semata-mata untuk Tuhan. Di sini kita belajar berkorban dan berhenti dari sebarang kerja dan tanggungjawab keduniaan, demi memenuhi tanggungjawab kehambaan. Hakikatnya, ia adalah nikmat, berpisah sementara dari dunia, untuk kecintaan yang lebih agung.
Tuntutan zakat lebih bersifat kemanusiaan dan kemasyarakatan. Ia adalah bukti yang paling kukuh menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang sangat mengambil berat akan keseimbangan dan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat. Kita belajar untuk berkongsi, berkorban sedikit dari lebihan harta yang kita miliki, demi membantu golongan yang memerlukan. Ia adalah pengorbanan yang mulia. Terkadang kita terlalu mahu mengejar dunia yang kaya dengan bermacam harta. Kita fikir, semakin bayak harta, semakin kita tahu nikmat kepuasan. Tanpa kita sedar, kepuasan berkongsi dan memberi itu lebih mendalam rasanya. Lebih tenang, lega dan lapang. Pengorbanan harta dalam tuntutan zakat bukanlah semata-mata bermanfaat untuk fakir miskin yang menerima tetapi lebih dari itu, adalah penyucian jiwa untuk setiap pemberinya.
Pengorbanan dalam tuntutan puasa pula amat jelas. Apabila kita menahan diri dari segala perkara yang memang tersedia untuk kita. Kita menahan diri dari makan dan minum yang setiap hari kita laksanakan tanpa tinggal. Pengorbanan ini juga mendalam sifatnya. Selain kita menahan diri memenuhi tuntutan Tuhan, kita merasa sendiri kesusahan kehidupan sebahagian manusia yang setiap harinya terpaksa menahan lapar dan dahaga. Di sini, kita akan sedar betapa nikmatnya kehidupan yang telah Allah kurniakan untuk kita dan di sini juga kita akan sedar, bahawa pengorbanan juga melahirkan cinta dan kasih sayang.
Tuntutan haji adalah tuntutan yang amat sinonim dengan bulan ini, bulan Zulhijjah. Manusia akan meninggalkan segala kemewahan pada pakaian mereka, keselesaan di kampung halaman mereka untuk berkumpul dan beribadat. Manusia dari segenap pelosok dunia, berkumpul di satu tempat yang sama, dengan pakian yang sama, menyebut zikir-zikir yang sama, untuk tujuan yang sama, ia adalah satu-satunya pengumpulan tahunan manusia yang terbesar di dunia. Setiap tetamu haji, akan ada kisah pengorbanannya yang tersendiri, baik dari segi mencukupkan wang belanja, sehinggalah ke pengorbanan tenaga kudrat yang ada. Ia adalah kisah yang akan mengubah manusia yang benar-benar menghayati perjalanan mereka.
"Detachment of the Dunya is not that you should own nothing, but that nothing should own you"
Pengorbanan adalah kehidupan dan kehidupan adalah pengorbanan. Di setiap tuntutan dalam rukun Islam ada nilai pengorbanannya tersendiri. Pengorbanan di Aidiladha pula adalah iktibar dari kisah Nabi Ibrahim AS memenuhi tuntutan Tuhan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS. Betapa sewaktu itu, mereka sudah bersedia untuk melaksanakannya, namun Allah menggantikan dengan haiwan sembelihan yang lain. Ujian seberat itu sepatutnya dijadikan pengajaran buat kesemua hamba. Bahawa keterikatan kita dengan segala perkara di dunia, baik keluarga, harta, tanggungjawab kerja, pangkat dan jawatan terlalu sementara dan kecil jika dibandingkan dengan keterikatan kita sebagai hamba kepada Allah. Ia adalah ikatan yang akan kekal meski selepas nyawa berpisah jasad. Ikatan inilah yang mesti kita perbaiki sepanjang masa. Moga Allah merahmati segala pengorbanan yang telah kita lakukan atas nama cinta, kasih dan tanggungjawab kepadaNya.
“Kemudian ia Kami beri khabar gembira dengan seorang anak yang penyantun [101]. Ketika anak itu sudah besar, berkata Ibrahim kepadanya: Hai anakku, dalam tidurku bermimpi seolah-olah saya menyembelih kamu, maka perhatikanlah bagaimana menurut pikiranmu?. Sahut anaknya, “Hai Ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada engkau, inshaaAllah engkau mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar[102]. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, nyatalah kesabaran keduanya [103]. Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim”[104]. Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik [105]. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata [106]. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar [107]. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian [108]. (yaitu) “Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim”[109]. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik [110]. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman [111]." [Surah As-Saffat]
Salam Aidiladha.
Ariff Solihin bin Khairul Anuar
10 Zulhijjah 1435H | Kota Irbid
Ariff Solihin bin Khairul Anuar
10 Zulhijjah 1435H | Kota Irbid
No comments:
Post a Comment