Ramadhan adalah bulan yang menghidupkan jiwa. Kita menahan
diri dari segenap perkara dan keenakan dunia. Kita menahan makan, minum dan
syahwat. Kita alih buat sementara waktu, hijab yang selama ini membelenggu dan
menutup mata jiwa kita. Menghidup dan mencelikkan mereka terhadap diri kita
sendiri. Sejauh mana aku telah berbakti untuk sekalian manusia. Sejauh mana aku
telah sempurnakan tanggungjawab sebagai hamba.
Bila menyebut mengenai tradisi amalan puasa, saya teringat
akan kali pertama saya menjinakkan diri dengan ibadat ini. Umur saya sekitar 6
tahun. Itulah kali pertama saya bangun sebegitu awal. Dikejut oleh ibu saya
untuk bangkit di tengah keheningan sepertiga akhir malam. Pada mulanya ia agak
berat. Namun, berbekalkan semangat yang ditanam ayah dan ibu, saya gagahkan diri
untuk bangkit.
Bila umur meningkat, saya mula sedar, betapa nikmatnya apabila
kita mampu bangun setiap hari pada waktu sebegitu. Dipertengahan antara malam
dan siang. Sepertiga akhir malam yang dikatakan sebagai waktu yang mustajab
untuk kita berdoa. Waktu yang digalakkan untuk kita isi dengan ibadah
mengingati Tuhan. Sejak zaman kenabian, sehinggalah hari ini. Amalan ini masih
hidup subur di rumah-rumah dan masjid-masjid.
Dalam falsafah Yin Yang ada menyebut mengenai pasangan dalam
setiap elemen yang wujud di dunia. Lelaki berpasangan dengan perempuan, sejuk
dengan panas , begitu juga siang dan malam. Keunikan dan keistimewaan akan
lahir apabila dua elemen bertemu sifat dan cirinya. Ia akan mewujudkan
keharmonian dan ketenangan. Sepertiga akhir malam adalah tempoh perubahan untuk
bertemu siang. Tidak peliklah apabila dikatakan sepertiga akhir malam ini merupakan
tempoh yang paling tenang suasananya. Anginnya juga berbeza dari biasa. Maka
rugilah kita jika waktu-waktu emas sebegini tidak kita guna untuk melatih diri,
menikmati ketenangan ini, berjinak-jinak dengan qiamullail.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam
taman-taman (syurga) dan mata air. Mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan
kepada mereka. Sesungguhnya mereka di dunia adalah orang-orang yang berbuat
baik. Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam; dan pada akhir malam mereka
memohon keampunan Allah” (Surah Adz Dzariyyat 15-18)
Disiplin dan
persediaan
Manusia adalah ciptaan yang terhebat. Hal ini jelas disebut
dalam Surah At Tin ayat 4.
“Sungguh, kami telah menciptakan manusia dalam ciptaan yang
sebaik-baiknya”
Untuk mengenal Tuhan, kita perlu melihat akan tanda-tanda
yang diberikan melalui ciptaanNya. Dalam Al Quran, Allah menggalakkan kita
melihat dan berfikir akan segala tanda yang diciptakan di sekeliling. Ironinya,
ciptaan terhebat Allah tersangatlah dekat. Ia adalah diri kita sendiri.
Mengenal diri kita sendiri adalah salah satu jalan mengenal Tuhan.
“Kami memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kebesaran
Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi
mereka bahawa Al Quran itu adalah benar…” (Surah Fussilat ; 53)
Imam Al Ghazali dalam Kimiya-e Saadat (The Alchemy of
Happiness), dalam bab Pengetahuan terhadap diri sendiri, mengumpakan diri
manusia sebagai sebuah kota. Jiwa rohani sebagai raja, pelbagai fakulti
pancaindera dan organ sebagai tenteranya. Minda sebagai menteri yang menyusun
atur, nafsu sebagai pemegang harta kekayaan dan kemarahan sebagai unit polis.
Pemegang harta cenderung untuk pecah amanah dan polis sering bertindak
keras di luar kawalan. Kedua-dua unit ini perlu sentiasa
diawasi rapi oleh raja, tetapi tidak dinafikan kepentigan
fungsinya untuk kota. Kedua-dua unit ini juga mampu membawa bahaya jika mereka
menjajah menteri (minda). Maka, sistem ini harus sentiasa diawasi rapi. Ini
adalah contoh ilmu mengenal diri sendiri.
Ramadhan juga mengajar manusia mengenal diri mereka sendiri.
Kita belajar untuk menguasai dan mendisiplinkan diri. Kita mengenal selok belok
pengawalan terhadap diri. Di bulan ini, kita berjaya menjadi raja kepada diri
sendiri.
Sebelum fajar menyinsing, kita telah bangun untuk bersahur.
Sebagai tanda persediaan untuk berpuasa di siang hari. Di waktu ini, kita sudah
mula menghayati ibadah puasa itu sendiri. Kita duduk di meja menjamu nasi, memperingat
diri bahawa aku akan berpuasa. Kita menyiapkan diri, bangkit dan memperteguh
niat. Makan bukanlah untuk kenyang sangat, tetapi lebih kepada persediaan
menempuh siang hari. Manusia secara fitrahnya memerlukan persediaan dalam
setiap tidakannya. Ini adalah sumber keyakinan dan kekuatan. Sebagaimana kita bersedia
rapi sebelum imtihan kuliah. Sebagaimana kita bersedia sebelum hari perlawanan
sukan, begitu jualah dalam ibadah.
Seperti juga ibadah solat, kita perlu berwudhu’ sebagai
tanda menyedia dan menyucikan diri. Di bulan ini, bahkan dalam ibadah puasa di bulan lain
sekalipun, kita dianjurkan untuk bersahur sebagai tanda sedia. Di waktu
persediaan ini, hati kita akan mula menghayati makna ibadah yang akan kita
lakukan. Sewaktu bersahur inilah kita akan buang segala cerita dunia, dan
bersedia untuk menghambakan diri. Kita
disunatkan untuk melambat-lambatkannya, sehingga kalau boleh sewaktu melalui
garisan permulaan iaitu sewaktu azan subuh itu kita sedar, puasa kita sedang bermula.
Meski di luar ibadah khusus, kita akan rasa nikmat yang
berbeza jika kita bersedia sebelum bermula. Terkadang kita sering terlepas
pandang akan kepentingan persediaan sebelum apa-apa tindakan. Di bulan ini,
kita melatih diri dan mencelikkan hati, bahawa persediaan rapi akan memberi
natijah yang lebih baik.
Inilah antara disiplin yang perlu kita amalkan untuk
menguasai diri kita sendiri. Kadangkala, kita terasa berat untuk melakukan
suatu persediaan. Terkadang kita terlalu yakin mengatakan kita sudah bersedia.
Di bulan ini, kita mengenal kembali apakah makna sebenar persediaan. Ia adalah
mujahadah terus-menerus. Ia adalah disiplin yang diulang-ulang. Kita akan
rasakan sendiri nikmat dan pengalamannya.
Akhirnya, persediaan ini sebenarnya adalah cerminan
hidup. Mengenang kembali kehidupan ini juga
tidak lain hanyalah ruang persediaan kita sebelum bertemu Tuhan. Persediaan
untuk kehidupan yang abadi di akhirat nanti.
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan di dunia hanyalah kesenagan yang memeprdaya" (Surah Ali 'Imran ; 185)
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan di dunia hanyalah kesenagan yang memeprdaya" (Surah Ali 'Imran ; 185)
Moga Allah terus-menerus merahmati kita di bulan keampunan
ini. Moga masa kita dimanfaat sebaiknya untuk mengenal diri dan menabur bakti.
Moga di bulan ini, kita mampu mengutip segala mutiara hikmah yang tersembunyi
di sebalik pensyariatannya. Moga kita tergolong dalam kalangan orang yang
bertakwa.
Ramadhan Kareem!
Jam 2200
1 Ramadhan 1435H
Ariff Solihin Khairul Anuar
No comments:
Post a Comment