Friday, June 27, 2014

Ramadhan Bulan Cinta [1]


Tahun ini sudah tahun ke 1435 H. Sudah lebih seribu tahun Ramadhan datang dan pergi merentas zaman. Ramadhan yang bakal datang untuk tahun ini juga adalah ramadhan yang sama seperti sebelumnya. Bilangannya masih sebulan, puasanya juga masih puasa yang sama, tradisi yang kita wariskan sejak zaman kenabian Muhammad SAW lagi. Begitulah nilai syariat. Ia adalah syiar yang bukan sahaja memberikan identiti, tetapi lebih mendalam, nilai dan panduan hidup kehambaan.

Jika Ramadhan yang bakal tiba adalah Ramadhan yang serupa, apakah nilai sebenarnya? Tiada yang baharu dalam kewajipan hukum, apatah lagi dalam tradisinya. Kita hanya menahan makan dan minum atau yang lebih tinggi, kita menahan dari segala perkara yang tidak bermanfaat.

Beginilah persoalan yang bermain dalam benak kepala saya, di tahun keramat, tahun ke 21 saya dipertemukan dengan Ramadhan.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 183;

“ Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa”

Bila difikir semula, perkara yang sebenarnya bertambah dan berubah adalah umur saya. Umur saya hidup dan melalui Ramadhan. Inilah perkara yang memberi nilai progresif  dan penghayatan sebenar Ramadhan. Setiap tahun kita dianugerahkan satu bulan rahmat, untuk dihayati maknanya. Sejauh mana kita sentiasa terbina dari tahun ke tahun melalui bulan keampunan ini. Sejauh mana maknanya kita gali untuk dijadikan pedoman hidup. Inilah persoalan yang sepatutnya saya jawab terlebih dahulu.

Ramadhan adalah bulan yang mengajar kita untuk mencari dan kembali. Bulan untuk kita mengenal diri sendiri. Apakah tujuan penciptaan diri? Apakah makna di sebalik kehidupan ini? Apa yang sebenarnya aku mahukan?

Sekian lama kita hidup di dunia, jiwa kita terhijab, jiwa yang bersembunyi di sebalik jasad ini sering lupa bahawa suatu masa dahulu kita pernah berjanji di hadapan Tuhan. Ia adalah perjanjian kehambaan di hadapan Allah.

“Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi anak cucu Adam, keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka, ‘Bukankah aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab ‘Betul, kami bersaksi’. (Kami lakukan sedemikian itu) agar pada hari kiamat nanti kamu tidak mengatakan  ‘Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang lengah terhadap ini” (Surah Al A’raf ;172)

Di dalam Tafsir Al Azhar karangan Prof Dr Hamka, menerangkan ayat ini sebagai tanda fitrah asal kemanusiaan. Di dalam diri manusia itu adanya ruh yang sebelum tibanya ke dunia sudah berjanji di hadapan Allah. Namun apabila manusia lahir ke dunia, mereka dihadapkan dengan takdirnya tersendiri. Ada yang lahir dalam keluarga muslim, ada juga yang lahirnya di dalam keluarga non-muslim. Takdir-takdir ini tidak menghalang setiap dari kita untuk mencari Allah dan takdir-takdir ini juga bukanlah jaminan yang pasti untuk syurgaNya kelak.

Sesampainya di dunia jiwa kita terhijab. Kita adalah siapa ibu bapa kita. Kita adalah siapa keturunan dan bangsa kita. Andai buruknya mereka maka buruklah kita. Namun perjalanan kehidupan itu panjang. Sampai satu masa minda kita mampu berfikir secara mandiri, kita akan punya kemampuan untuk belajar dan melihat dunia. Di saat itu, kita bertanggungjawab penuh ke atas diri kita sendiri. Kitalah yang menentukan siapa kita dan nasib kita baik di dunia atau di akhirat kelak.

Perjalanan inilah yang akan membezakan Ramadhan kita saban tahun. Sejauh mana kita berfikir dan mendalami erat hubungan kita dengan Tuhan. Sejauh mana kita sudah berbakti untuk sekalian manusia demi kebaikan. Sejauh mana ilmu telah kita gali dan sebarkan. Perkara-perkara inilah yang akan memberi makna yang berbeza dalam Ramadhan kita. Ia adalah persoalan berbentuk introspeksi. Kita bertanya dan mengenal diri kita sendiri. Sejauh mana kita telah membentuk dan membinanya. Sejauh mana persediaan yang telah kita rapikan untuk bertemu Tuhan.

Ramadhan adalah bulan yang menghidupkan jiwa. Kita menahan diri dari segenap perkara dan keenakan dunia. Kita alih buat sementara waktu, hijab yang selama ini membelenggu dan menutup mata jiwa kita. Menghidup dan mencelikkan kedua matanya terhadap diri kita sendiri. Sejauh mana aku telah berbakti untuk sekalian manusia atas nama Tuhan yang maha Esa.

Mata jiwa yang hidup juga akan teralih pada sisi-sisi saudara yang hidupnya susah. Tanpa sedar, ianya memupuk nilai empati untuk merasa kesusahan yang dialami mereka. Jiwa yang hidup, bersamanya ada belas kasih kemanusiaan. Mungkin dalam setahun kita hidup dalam komuniti yang sama, di bulan ini barulah kita celik dan sedar. Maka, kita akan mula untuk saling membantu apa yang mampu.


Hubungan dengan Tuhan tidak pernah lari dari kaitannya dengan hubungan kemanusiaan. Antara capaian keimanan dan ketakwaan juga capaian Ramadhan adalah baiknya hubungan kita sesama manusia. Allah telah mengumpamakan orang-orang yang berlaku buruk terhadap anak yatim dan orang-orang yang tidak memberi makan kepada fakir miskin sebagai pendusta agama. Ayat dalam surah Al Ma’un ini adalah satu amaran terhadap kita sebagai muslim. Bahawa, hubungan kemanusiaan itu amat penting untuk kita genggam sebagai prinsip kehidupan.

Moga di bulan ini, kita mampu mengutip segala mutiara hikmah yang tersembunyi di sebalik pensyariatannya. Moga kita tergolong dalam kalangan orang yang bertakwa.

Ramadhan Kareem!


JAM 1119
DENGKIL | 28.6.14 |
ARIFF SOLIHIN
TIMB PRES PERMAI 14/15

No comments:

Post a Comment