Saturday, October 25, 2014

[Way Towards Future] by Super Senior Siti Fatimah Ismail

Nota ditulis oleh graduan Pergigian JUST(2014)
Siti Fatimah Ismail,
Mantan Ketua Helwi sesi 11/12.

[Way Towards Future]

Assalamualaikum. Post panjang berjela.



Buat rakan-rakan yang masih baru di Jordan, dan meletakkan matlamat untuk melancarkan, memperelok, menghafaz Al-Quran, mempelajari tajweed, di sini ada sedikit perkongsian.
Anda boleh memulakan langkah dengan mendaftar di Markaz Al-Quran (seperti yang diiklankan oleh Permai).

Untuk akhawat, saya sangat mencadangkan markaz hafsah (tanpa menafikan kebaikan markaz yang lain) kerana markaz hafsah sistem nya agak tersusun, dan meletakkan jangka masa yang tetap bagi satu-satu daurah di bawahnya.
Di sini saya cuba tuliskan apa yang akan anda dapat lalui jika anda beristiqamah insyaALLAH.

Daurah pertama (Tamhidiyah). 3 komponen: hafazan, tilawah, teori
-perlu menghafaz juz amma
-akan mempelajari sebahagian dari kitab muneer
-akan ada peperiksaan bertulis juz amma, teori, dan tilawah di hadapan lajnah al-quran (Sheikhah)

Selepas tamat, lulus peperiksaan daurah pertama, pergilah ke markaz untuk daftarkan diri untuk daurah kedua. Jangan berlama-lama antara fatrah tamat daurah tamhidiyah dengan memulakan daurah mutaqaddimah. Ini kerana kelapangan mungkin membunuh azam anda untuk terus menyambung pembelajaran ke daurah kedua.

Daurah kedua (Mutaqaddimah). 3 komponen: hafazan, tilawah, teori.
-perlu menghafaz surah al-kahfi dan al-israa (juz 15) serta menghafaz juz 1
-akan mempelajari kitab muneer keseluruhannya
-akan ada peperiksaan bertulis juz 1 dan 15,bertulis teori, dan tilawah di hadapan lajnah Al-Quran (Sheikhah) dan berkemungkinan disoal teori oleh lajnah.

setelah lulus peperiksaan, daftarkan segera diri anda untuk ke peringkat ketiga iaitu ijazah hadhir (tilawah Al-Quran juz 1-30 dengan sheikhah secara berseorangan)

Daurah ketiga- Ijazah haadhir
-Jika di peringkat sebelum ini anda beramai-ramai, di peringkat ini, anda membaca berseorangan di hadapan sheikhah, dan akan ada ulangkaji dan soal jawab bahagian teori kitab muneer sepanjang anda membaca Al-Quran.
-Anda akan memilih 2 juz dari Al-Quran untuk anda hafaz
-Untuk peringkat ini, tak dapat dijangka berapa masa yang akan diambil kerana bergantung kepada tahap bacaan, kekerapan, dan lain-lain.

Setelah tamat, anda akan ke peperiksaan ijazah. Ada 3 tahap peperiksaan ijazah.

Tahap 1: Peperiksaan teori kitab muneer dan peperiksaan bertulis hafazan 2 juz yang anda telah pilih. (tidak perlu berturut, tidak boleh juz 1, 15, 30 yang telah anda hafaz dahulu)
Tahap 2: Bacaan Al-Quran di hadapan lajnah al-quran perempuan (Sheikhah) dan ada soalan teori kitab muneer
Tahap 3: Bacaan Al-Quran di hadapan lajnah Al-Quran lelaki (Syuyukh) dan ada soalan teori kitab muneer, dan jika lulus, anda akan diwasiatkan untuk memberi ijazah kepada 3 org anak murid tanpa sebarang ganjaran (Duit, dsb)

Jika tidak lulus tahap 1, perlu ulang peperiksaan agar dapat pergi ke peperiksaan tahap 2. begitu juga untuk ke tahap ketiga.

Setelah lulus ijazah, anda akan dapat terus ke peringkat sanad (ijazah ghaib) iaitu hafazan Al-Quran 30 juz.
-Sanad ini juga tidak dapat dijangka berapa lama masa yang akan anda ambil untuk khatam. (Bergantung hafazan anda, kekerapan, sheikhah dan sebagainya.)
-Bergantung kepada sheikhah, akan ada peperiksaan sepanjang tasmi. 5 juz,10,15 dsb
-Selepas khatam, akan ada peperiksaan 15 juz bertulis.
-Kemudian jika lulus, anda akan ke peperiksaan besar di hadapan lajnah hafazan Al-Quran,anda akan ditebuk mana-mana dari 30 juz Al-Quran.

*Semua peperiksaan hafazan adalah secara tebuk menebuk. (Bukan tulis semua sekali)
*Untuk rujukan penuh daurah, anda boleh buka bahagian akhir kitab muneer dan bertanya kepada markaz dan sheikhah, atau senior.
*Markaz juga ada menyediakan daurah lain seperti daurah mengulang, tafseer dan sebagainya-sila rujuk markaz
*Sistem peperiksaan dan daurah boleh berubah-ubah mengikut masa.

Sangat digalakkan untuk anda berlumba-lumba dan bersemangat dan beristiqamah untuk menghabiskan sekurang-kurang nya 3 daurah pertama (tamhidiah, mutaqaddimah, ijazah) dalam pengajian anda. Jika mampu, teruskan dengan Sanad.

Caranya adalah susun timeline hidup anda 3-4-5-6 tahun di Jordan dan sentiasa doa untuk dikurniakan istiqamah, teman yang baik dan niat yang ikhlas. Mudah-mudahan Allah membantu perjalanan anda.

Saya berkongsi kerana satu ketika dulu, saya tidak diberi penjelasan tentang perkara ini menyebabkan saya tidak jelas untuk menyusun timeline dan sebagainya.

Semoga bermanfaat.

p/s:saya copy nota ini disini supaya mudah menjadi rujukan serta reminder untuk generasi akan datang, kerana saya jauh sama sekali tidak diberi penjelasan tentang perkara ini menyebabkan saya langsung tidak jelas untuk menyusun timeline, matlamat dan sebagainya.

Wednesday, October 8, 2014

Pesan-pesan tentang Aurat dan Ikhtilat.


Pernah suatu ketika ada seorang sahabat saya berkata(pesan) tentang aurat,

"Jaga lah aurat kita supaya kita dapat menjaga ayah, abang, suami dan saudara laki-laki kita dari api neraka, jangan jadikan dosa kita menjadi tanggungan orang yang paling kita sayang..bantulah orang yang melihat kita untuk menjaga pandangan mereka, jangan kerana kita mereka menggunungkan dosa dosa tanpa sengaja..."

Pernah suatu ketika ada sorang sahabat saya berkata(pesan) tentang ikhtilat,

"..ikhtilat itu adalah apabila ditanyakan kepada hati dan iman, kite tenang dengannya,maka teruslah berbuat sehingga cukup kadar dan batasnya, dan apabila kita merasa gundah, maka beransur ansur kita perbaiki dan kita tinggalkan ia..., dan latih diri kamu untuk menundukkan pandangan, supaya hati kamu terdidik dan tunduk mengikut iman bukan mengikut nafsu...banyakkan istighfar... in sha Allah, lama lama sekalipun keadaan membuntukan kamu untuk tidak menundukkan pandangan, akhirnya kamu bisa mengawal pandangan kamu secara professional pada kadar yang perlu mengikut suasana dan keadaan tertentu, kerana kamu semakin yakin(yakin mengikut fatwa hati yang saleem) bahawa kamu bisa tundukkan hati mu meskipun pandangan kamu terus pada keadaan keadaan yang memerlukan kamu berbuat demikian..."

Pernah suatu ketika dahulu, ada senior pernah berkata(pesan)...

"..Tertutup jangan jumud, terbuka jangan hanyut.."

dan pesan terakhir..

"...kalau tersedar dah nak hampir lemas, cepat cepat berpaut dengan peringatan dan nasihat orang-orang disekeliling kita... seorang itu lemah dan mudah untuk lemas, cari sahabat cepat-cepat, wujudkan biah yang baik, dan perbaiki diri dari semasa ke semasa..jangan tergugat dengan pandangan manusia, perlu jelas perubahan kita bukan kerana manusia, tapi kerana Dia..in sha Allah, proses perubahan kalian akan dipermudahkan..ameen "

Catatan di bawah merupakan inspirasi perkongsian dari Train of Trainers (TOT) PINTAR yang disampaikan oleh Ustaz.Radhi di Puskom.
Apakah yang perlu kita jaga ?
1.Kejelasan.
-dalam menyampaikan sesuatu maklumat, pertolongan, bantuan dll.Sekadar yang perlu dan sekadar common sense-nya.
2.Hormat menghormati.
-menggunakan nama panggilan yang betul dan sesuai mengikut keadaan, situasi dan mengikut tertib dan adab sebagai insan berbudi pekerti yang baik ketika berbahasa sesama junior-senior dan syabab-akhowat.
3.Jaga hati.
-yang dirasakan tidak baik, tidak sedap kat hati, ansur ansur tinggal tinggalkan, yang dirasakan baik, teruskan beramal dan berbuat. Ikut fatwa hati, dengan syarat hatinya saleem untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.
-mendidik mata untuk tundukkan pandangan kepada perkara yang tidak perlu untuk menjaga hati supaya saleem untuk diikuti fatwanya.
4.Aurat(malunya nak ckp psal ni sbb diri sndiri pun..hurm, marilah sama sama kita muhasabah diri)
-menutup dada,pakai stokin kaki, baju(tshirt)labuh, yang lain2 tu kita improve slow slow ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa,
*sekarang fokus je dulu 3 benda ni:tutup dada, stokin kaki, tshirt labuh 
perlu dingatkan kepada laki laki(juga perempuan) di luar sana, susuk seorang perempuan itu adalah yang paling lemah perasaannya, lagi lagi jika ditegur dan dinasihati tanpa hikmah, belajar menegur secara hikmah itu juga satu proses ikhtilat yang mampu mewujudkan suasana komuniti yang harmoni, semoga akhowat terus positif kerana masih ada yang mengambil berat tentang kita,

Menegur penuh hikmah, menerima dengan penuh berhemah :)

yangmasihbanyakkenabelajar
8Oktober2014
10.37am


Saturday, October 4, 2014

Kehidupan dan Pengorbanan

Pengorbanan adalah suatu kemestian dalam kehidupan. Dalam setiap cerita kehidupan pasti akan ada episod pengorbanan. Bermula dari pengorbanan seorang ibu yang menaruh kudrat demi melahirkan seorang anak sehinggalah tiba hari tuanya, pengorbanan anak menjadi suatu keperluan untuk mereka. Ia adalah kisah dan kitaran yang sama untuk setiap insan, cerita pengorbanan yang memaknakan sebuah kehidupan.

"lslam itu terbina atas lima perkara: Bersaksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitulLah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Mesej Islam adalah mesej kehambaan kepada Rabbul Jalal, pencipta setiap penjuru alam, baik yang bernyawa mahupun tidak. Hadith mengenai rukun Islam di atas membuktikan betapa mesej kehambaan ini sangat sinonim dengan pengorbanan. Bagaimana sebelum bermula sebarang penyerahan jiwa dan raga untuk Islam, pembuktiannya adalah melalui syahadah yang agung. Kita mengikat diri kita dengan keyakinan kepada Allah dan Nabi Muhammad. Mendahuluinya dari sebarang perkara lain dalam kehidupan. Ia adalah ikatan yang akan kekal sehingga kehidupan selepas mati. Bukan seperti ikatan-ikatan lain yang pernah kita alami sepanjang kehidupan di dunia. Bersama ikatan ini, akan datanglah tuntutan-tuntutan pengorbanan yang mesti kita penuhi sebagai hamba.



Selepas syahadah, tuntutan untuk mendirikan sembahyang datang dalam rukun kedua. Bagaimana sembahyang bisa mengajar nilai pengorbanan? Ia adalah pengorbanan kita membebaskan diri sementara dari segala hal dunia baik yang penting mahupun tidak. Ia adalah satu-satunya masa kita membebaskan diri, minda dan seluruh pancaindera dari sebarang keterikatan dunia. Dalam ibadah lain, kita masih boleh menikmati kenikmatan dunia, tetapi di dalam solat, kita memfokuskan seluruh pancaindera termasuklah penglihatan dan pendengaran semata-mata untuk Tuhan. Di sini kita belajar berkorban dan berhenti dari sebarang kerja dan tanggungjawab keduniaan, demi memenuhi tanggungjawab kehambaan. Hakikatnya, ia adalah nikmat, berpisah sementara dari dunia, untuk kecintaan yang lebih agung. 

Tuntutan zakat lebih bersifat kemanusiaan dan kemasyarakatan. Ia adalah bukti yang paling kukuh menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang sangat  mengambil berat akan keseimbangan dan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat. Kita belajar untuk berkongsi, berkorban sedikit dari lebihan harta yang kita miliki, demi membantu golongan yang memerlukan. Ia adalah pengorbanan yang mulia. Terkadang kita terlalu mahu mengejar dunia yang kaya dengan bermacam harta. Kita fikir, semakin bayak harta, semakin kita tahu nikmat kepuasan. Tanpa kita sedar, kepuasan berkongsi dan memberi itu lebih mendalam rasanya. Lebih tenang, lega dan lapang. Pengorbanan harta dalam tuntutan zakat bukanlah semata-mata bermanfaat untuk fakir miskin yang menerima tetapi lebih dari itu, adalah penyucian jiwa untuk setiap pemberinya.

Pengorbanan dalam tuntutan puasa pula amat jelas. Apabila kita menahan diri dari segala perkara yang memang tersedia untuk kita. Kita menahan diri dari makan dan minum yang setiap hari kita laksanakan tanpa tinggal. Pengorbanan ini juga mendalam sifatnya. Selain kita menahan diri memenuhi tuntutan Tuhan, kita merasa sendiri kesusahan kehidupan sebahagian manusia yang setiap harinya terpaksa menahan lapar dan dahaga. Di sini, kita akan sedar betapa nikmatnya kehidupan yang telah Allah kurniakan untuk kita dan di sini juga kita akan sedar, bahawa pengorbanan juga melahirkan cinta dan kasih sayang. 

Tuntutan haji adalah tuntutan yang amat sinonim dengan bulan ini, bulan Zulhijjah. Manusia akan meninggalkan segala kemewahan pada pakaian mereka, keselesaan di kampung halaman mereka untuk berkumpul dan beribadat. Manusia dari segenap pelosok dunia, berkumpul di satu tempat yang sama, dengan pakian yang sama, menyebut zikir-zikir yang sama, untuk tujuan yang sama, ia adalah satu-satunya pengumpulan tahunan manusia yang terbesar di dunia. Setiap tetamu haji, akan ada kisah pengorbanannya yang tersendiri, baik dari segi mencukupkan wang belanja, sehinggalah ke pengorbanan tenaga kudrat yang ada. Ia adalah kisah yang akan mengubah manusia yang benar-benar menghayati perjalanan mereka.

"Detachment of the Dunya is not that you should own nothing, but that nothing should own you" 

Pengorbanan adalah kehidupan dan kehidupan adalah pengorbanan. Di setiap tuntutan dalam rukun Islam ada nilai pengorbanannya tersendiri. Pengorbanan di Aidiladha pula adalah iktibar dari kisah Nabi Ibrahim AS memenuhi tuntutan Tuhan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS. Betapa sewaktu itu, mereka sudah bersedia untuk melaksanakannya, namun Allah menggantikan dengan haiwan sembelihan yang lain. Ujian seberat itu sepatutnya dijadikan pengajaran buat kesemua hamba. Bahawa keterikatan kita dengan segala perkara di dunia, baik keluarga, harta, tanggungjawab kerja, pangkat dan jawatan terlalu sementara dan kecil jika dibandingkan dengan keterikatan kita sebagai hamba kepada Allah. Ia adalah ikatan yang akan kekal meski selepas nyawa berpisah jasad. Ikatan inilah yang mesti kita perbaiki sepanjang masa. Moga Allah merahmati segala pengorbanan yang telah kita lakukan atas nama cinta, kasih dan tanggungjawab kepadaNya.

 “Kemudian ia Kami beri khabar gembira dengan seorang anak yang penyantun [101]. Ketika anak itu sudah besar, berkata Ibrahim kepadanya: Hai anakku, dalam tidurku bermimpi seolah-olah saya menyembelih kamu, maka perhatikanlah bagaimana menurut pikiranmu?.  Sahut anaknya, “Hai Ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada engkau, inshaaAllah engkau mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar[102]. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, nyatalah kesabaran keduanya [103]. Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim”[104]. Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik [105]. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata [106]. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar [107]. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian [108]. (yaitu) “Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim”[109]. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik [110]. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman [111]." [Surah As-Saffat]



Salam Aidiladha.
Ariff Solihin bin Khairul Anuar
10 Zulhijjah 1435H | Kota Irbid