Sunday, August 31, 2014

6 Kejutan Budaya untuk Pelajar Baru PERMAI


Kejutan budaya adalah suatu perkara yang biasa di mana-mana tempat baharu. Segala budaya yang baik, sama-samalah kita amal dan sebarkan, manakala yang tak baik, kita jadikan pengajaran. Keunikan budaya di Jordan, khususnya di kota Irbid, sangatlah banyak, baik dari segi masyarakat sehinggalah ke alam sekitarnya. Ia adalah pengajaran berterusan yang bakal memberi makna yang mendalam sepanjang keberadaan kita di sini.

Di sini, saya senaraikan 6 kejutan budaya menurut pandangan saya. Ianya tidak pernah berhenti mengesani saya sehinggalah hari ini.  ^^

1. Muraqib

Saya masih ingat sewaktu di tahun pertama, semua rakan-rakan saya (syabab) menunggu-nunggu panggilan pertama untuk muraqib. Menyelesaikan tugas muraqib pertama seolah-olah menyelesaikan tugas seorang ‘superhero’, Hehe..  Semua orang pun pasti akan merasainya. Secara mudahnya, muraqib ini adalah sistem keselamatan untuk melindungi akhawat-akhawat kita di sini yang berurusan pada waktu malam. Sayangnya, semakin umur dewasa, biasanya, syabab-syabab semakin hilang ‘hero’nya, akhawat-akhawat pula semakin yakin dengan kemampuan mereka  :) . Oleh itu, bersedialah. Ianya tugas kita bersama.

2. Hon

Ini adalah budaya yang sentiasa mengharukan suasana. Untuk rakan-rakan yang tinggal berdekatan jalan yang sibuk pasti akan terbiasa dengannya. Pak arab di sini gemar melampiaskan ketidaksabaran mereka menggunakan hon. Sewaktu minggu pertama saya di sini, inilah benda yang paling ‘annoying’. Ubatnya, tidak dapat tidak, kenalah sabar dan sabar. Lama-kelamaan, terbiasalah nanti.

3. El-Classico

Di Malaysia, selain terkenal dengan kepelbagaian kaum, kita juga mempunyai kepelbagaian minat dalam memilih pasukan bola sepak. Kita ada peminat pasukan dari Liga Malaysia, Liga Inggeris, Liga Sepanyol dan lain-lain. Di sini, rata-ratanya cenderung untuk memilih 2 pasukan sahaja. Kalau tidak Real Madrid, maka Barcelona. Kalau tidak Barcelona, makanya Real Madrid. Beginilah kitarannya. Perkara yang bakal menjadi kejutan ialah apabila 2 pasukan ini berentap di satu padang. Ianya akan menghidupkan suasana malam dengan kemeriahan yang tidak terkata. So, kepada peminat-peminat bola sepak, behave yourself! Not to choose also is a choice. ^^

4. Coaster

Coaster adalah bas kecil yang memuatkan 23 orang termasuk pemandu. Untuk pelajar JUST, inilah kenderaan yang bakal menyempurnakan rutin kalian untuk ke universiti. Ya, kaedahnya sama sahaja seperti menaiki bas Tai Lye, Rapid KL atau Bas Sekolah, cuma keunikannya ialah apabila anda mula berfikir, macam mana nak suruh pak cik ‘driver’ berhenti ek? Anda hanya memerlukan alatan keluli (seperti syiling) dan ketukkan pada cermin di hujung kerusi. Percayalah, coaster tadi akan berhenti mengikut kemahuan kita. Selamat mencuba!

5. Kegilaan Arab

Sehingga hari ini, saya masih yakin, bahawa Arab yang soleh itu lebih ramai sebenarnya. Cuma mungkin kehadirannya kadangkala kurang memberi kesan di hati kita. Yang kurang baik pula, selalunya kita akan ingat sampai bila-bila. Begitulah manusia. Apa yang mahu ditekankan di sini, kegilaan sesetengah Arab pasti akan memberi kejutan untuk kita yang baharu. Kita akan jumpa dengan Arab jalanan, yang mengemis setiap hari, ada yang mulutnya mengherdik-herdik. Kalau yang bergaduh, tindakannya luar jangkaan. Di hari keraian seperti keputusan tawjihi (SPM), suasananya huru-hara. Semuanya akan terpalit kepada bagaimana kita ‘alert’ dan menjaga keselamatan diri. Mudahnya, ambil beratlah peraturan dan nasihat yang akan diberikan nanti ya!

6. Duit

Untuk yang terakhir, tidak kurang juga pentingya. Biasanya, di minggu-minggu awal, kita gemar ‘convert’kan setiap barang pembelian kita. Kononnya nak memuaskan hati kalau-kalau ada barang yang lebih murah dari Malaysia. Ia hanyalah mimpi di siang hari, hehe.. Jika kita ‘convert’kan perbelanjaan bulanan kita di sini, kita akan terkejut.. “Eh, banyaknya..”. So, ingatlah, ustaz saya pernah pesan, perbelanjaan bijak bukanlah perbelanjaan yang sedikit atau banyak, tetapi perbelanjaan yang berpatutan.


Sebagai penutup, persediaan dan pengetahuan adalah pokoknya. Apa pun kejutan baik dari sudut budaya masyarakat mahupun persekitaran, ianya adalah suatu pengalaman untuk kita belajar. Jangan takut menempuh perubahan kerana hakikatnya, begitulah kehidupan. Sentiasa bergerak, berubah dan maju merentas masa.



Ariff Solihin Khairul Anuar
31.08.2014 | Kota Irbid





Monday, August 4, 2014

Ibu Dan Ayah

kita adalah apa yang kedua-dua ibu bapa kita doakan..
sewaktu kecil kita,
dan sepanjang kita membesar...

doa mereka itu berkatnya berlipat-lipat,
doa mereka itu luar biasa kekuasaannya..

bahkan,
redha mereka terdahulu sebelum redha Allah..

kalian percaya ?

maka berimanlah,


Amnah
10.18 pm
4 Ogos 2014