Bermula agenda ‘separuh’
Aku membuka bekal makanan tengahari. Sejak
seminggu lepas ibu menyediakan bekal makanan tengahari buatku. Meskipun aku ingin
menolak, tetapi tidak sampai hati pula melihat ibu bertungkus lumus menyiapkan
bekal makanan buat aku sebaik sahaja selesai subuh bersama.
Hairan? Mana taknya. Masih ingat kali
pertama ibu menyerahkan bekal itu pada aku. Tangan menyambut tetapi mata
kepalaku tidak berkelip memandang ibu penuh tanda tanya. Ibu hanya tersenyum
dan terus mengarahkan aku bergerak ke tempat kerja.
Sudah seminggu rutin ini berterusan. Aku
tidak mahu bertanya kerana takut ibu terasa. Aku cuba mencari-cari jawapan
sendiri. Jika kerana rindu.. setelah setengah bulan aku pulang daripada Ireland,
barulah ibu mulakan ‘agenda’ beliau ini, kalau benar rindu kenapa tidak mula
awal-awal? Takkanlah kerana ibu sakit? Aku menggeleng-geleng menidakkan andaian
sendiri.
Aku kembali merenung bekalan makanan itu.
Membaca doa dan terus melantak nasi putih lauk ikan patin masak lemak kegemaran
aku. Lupa untuk aku maklumkan, semua bekalan ibu sediakan, hanyalah separuh.
Nasi itu diletakkan separuh, ikan dipotong separuh, mujur kuah itu tidak mampu
nak diseparuhkan. Ya, separuh!
Hairan? Dua kali hairan. Tapi, aku tidak
bertanya.
Doktor separuh seterika
Ada sehari itu sewaktu aku dijadualkan
on-call, malam sebelum aku masuk bertugas ibu menawarkan diri untuk menggosok
bajuku. Alangkah kepalang hati ini. Aku sememangnya penat malam itu.Jadinya,
bila ibu ingin membantu, apalagi, orang mengantuk disorongkan bantal. aku
teringat kembali memori dulu-dulu zaman sekolah rendah dikala semua baju aku
ibu yang gosokkan. Aku jadi tak sabar nak jumpa pagi esok.
Tapi esoknya,tak terjangka, hampir-hampir
aku meletup pagi itu. Kerana sudah tahu baju aku telah digosok, aku sengaja
melambat-lambat bersiap. Apabila aku nak pakai baju yang ibu gosokkan,
Subahanallah!! Ibu gosok separuh, ya separuh!
Dahi aku berkerut-kerut. Aku cuba bersangka
baik dengan ibu. Mungkin dia terlupa. Lantas aku mencari-cari seterika untuk
habiskan lagi separuh bahagian baju.
‘’Sudah! Mana pulak seterikanya???” Bentak
aku diam-diam.
Tunggang terbalik barang-barang aku alihkan
untuk mencari seterika. Tak jumpa! Aku mencari ibu dan bertanya tentang
seterika. Ibu cakap, “Tiada atas iron board tu ka?”. Aku dah lambat, nak tak
nak, baju separuh gosok itu aku sarung jua. Mujur di hospital ada kot putih
untuk menyembunyikan rahsia aku pagi itu.
Selama satu hari setengah aku
menyarung baju separuh gosok itu. Tipu jika peristiwa itu tidak menganggu aku.
Apabila masa lapang, sewaktu makan, aku asyik terfikir-fikir.
Ibu lupakah?
Kenapa asyik separuh ni?
Seterika pulak dah hilang ke mana?
Spatial neglect
Kerjaya sebagai doktor kadang-kadang mampu
membuatkan kita sentiasa berjaga-jaga hatta sekecil-kecil simptom sekalipun.
Aku teringat satu penyakit yang berkaitan dengan otak, dimana bahagian otak
yang mengesan dan memproses koordinasi objek disekeliling kita rosak separuh
menyebabkan otak kita hanya memproses apa yang dilihat di sebelah bahagian
sahaja. Kondisi ini disebut, spatial neglect.
Otak kita terbahagi kepada hemisfera kanan
dan kiri. Kedua-dua belah bahagian masing-masing ada satu bahagian yang
bertugas memproses koordinasi apa yang kita lihat, dengar, sentuh. Jika kita
rosak bahagian ini disebelah kanan, maka kita kan mengabaikan objek disebelah
kiri. Mengapa begitu? Kerana maklumat dari deria di sebelah kanan akan sampai
ke otak kiri dan begitu juga sebaliknya.
Aku menjadi risau. Pulang nanti aku harus
memeriksa ibu!
Negative spatial neglect. Misteri berterusan.
Huh! Aku mengeluh berat sambil terbaring
atas katil. Merenung siling. Semuanya normal. Kelengkapan, susunan rumah
semuanya ibu buat cukup lengkap kecuali apabila tentang aku, separuh. Apa
sebenarnya ibu? Aku membuang kemungkinan ibu sakit. Aku pasti ada yang ingin
ibu sampaikan. Sifat perempuan yang suka berkias, huishh..menguji sanubari.
Doktor + Surirumah
Jam menunjukkan tepat 6 petang. Aku
memusing stereng kereta memasuki perkarangan rumah. Belum sempat keluar dari
perut kereta, telefon berbunyi. Ibu.
Aku meletakkan telefon sambil melangkah
masuk rumah. Beberapa to-do list berlegar dalam otak. Ibu dan ayah pulang ke
kampung secara tiba-tiba. Jadi memandangkan aku yang sulung, ibu menyerahkan
tugasan rumah untuk aku uruskan. Agak berat pada mulanya, tapi aku sudah biasa
sewaktu di Ireland untuk menguruskan makan pakai sendiri. Cuma kali ini,
adik-adik aku yang bertiga pun di bawah tanggungan.
Pinggan mangkuk bertimbun di sinki,
semuanya baru dicuci separuh. Ada yang sudah bersabun tetapi belum dibilas.
Baju-baju sudah dimasukkan dalam mesin
basuh, separuh sudah disidaikan separuh lagi masih lembap di dalam raga dan
masih berbaki yang tidak habis ‘spin’ dalam mesin basuh.
Bahan-bahan untuk masak sarapan esoknya tersedia
di dapur dalam keadaan separuh. Bawang yang dikisar separuh, telur yang
dipecahkan separuh, separuh daripada 30 keping roti dipotong dua.
Semua separuh.
Amira, adik aku yang paling tua tidur rumah
kawan, jadi aku tidak dapat nak minta tolongnya.
Anisah pula ada hari sukan esoknya jadi dia
barangkali ingin berehat awal.
Mukhriz pula ada kelas tambahan malam ini.
Oh ya! Aku kena jemput dia dari kelas.
Terduduk aku atas sofa. Buat pertama kali
aku rasa sangat tak menang tangan. Buat pertama kali aku rasa tulang empat
kerat ini tidak mampu. Buat pertama kali aku ingin berbicara tentang kehidupan
pada seseorang.
Seusai maghrib aku melakukan satu persatu
kerja rumah. To-do list aku tampal besar-besar di dinding ruang tamu. Siap satu
tugasan, aku pangkah tugasan itu di to-do list. Tapi aku rasa ada satu yang tak
kena. Allahuakbar, Mukhriz!
Cepat aku capai telefon dan menghubungi
mukhriz. Nasib baik kelasnya habis agak lewat jadi dia tidak menunggu lama. Aku
dengan berkain pelekat terus menuju ke kereta. Terkocoh-kocoh jadinya.
Malam itu penat aku berbeza. Bukan penat
pusing-pusing wad hospital. Tapi aku lega dan tenang. Entah.
Rahsia Ibu.
Petang itu aku masih ingat. Pulang dari
hospital ibu terus ajak aku makan pisang goreng. Tak sempat-sempat nak tukar
baju, aku terus melabuhkan punggung di sisi ibu. Ibu di atas kerusi dan aku duduk separa
tinggi ribanya. Ibu mengelus lembut rambutku. Terasa kasih sayang menjalar di
celah jari jemari tua ibu.
Leka mengunyah pisang goreng, tiba-tiba ibu
menghulurkan sekeping foto kepadaku. Aku tergamam. Ya, umur 24, apabila dihulur
gambar wanita ajnabi, apa kau fikirkan? Haha..Aku juga fikir benda yang serupa.
Kata ibu, semenjak pulang, aku tidak pernah
menyentuh soal perkahwinan. Ibu khuatir apa aku tidak bersedia, apa aku tidak
mahu. Tetapi ibu enggan bertanya terus.Kata ibu, tidak mahu memaksa.
Lalu, kenapa sekarang ibu? Aku menerbitkan
tanda tanya.
Ibu tersenyum dan membuka rahsia.
Rupa-rupanya, agenda ‘separuh’ ibu adalah
untuk menilai diriku. Ibu sengaja memberi aku pelbagai tugasan rumah secara
tiba-tiba dan berlambak untuk melihat sejauh mana aku mampu mengurus hal-hal
rumah dan mengendali situasi yang ‘tiba-tiba’.
Baju yang digosok separuh sengaja untuk
lihat bagaimana aku berdepan dengan masalah yang puncanya dari orang lain. Bagaimana
respon aku terhadap ibu. Bagaimana aku mengawal emosi.
Kalau benar aku belum bersedia, pasti aku
gagal ujian dari ibu.
Bergenang aku mendengar penjelasan ibu.
Benarlah, ibu berkias.
Lalu mengapa separuh ibu?Bagaimana dengan
makanan yang ibu sedia separuh? Pertanyaan aku belum selesai.
Kata ibu,
Apabila seorang hamba menikah,
maka sungguh dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia
bertaqwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya. Riwayat oleh Imam
al-Baihaqi.
Kalau benar aku belum ada kemahuan, ibu ingin
terbitkan rasa itu, jelas ibu. Apabila melihat secara zahir benda di sekeliling
kita separuh, bukankah kita tercari-cari lagi separuhnya?Bukankah rasa untuk
memiliki lagi separuh itu lebih terserlah? Ibu menyentuh lembut bahuku sambil
berkata, diluar sana ada seseorang yang tercipta buat melengkapi separuh dari
kita.
Terdiam aku. Malu sedikit apabila soal hati dan
perasaan ini diungkap.
Sepanjang sekolah menengah aku tinggal di
asrama. Selepas SPM, dikala berumur 18 tahun, aku sudah mula cari kerja
sambilan, kemudian terus meninggalkan keluarga untuk menyambung pelajaran di
Ireland. Jarang aku pulang ke malaysia dan setelah tamat pelajaran, aku pulang
berumur 24 tahun. Sudah dewasa kata ibu. Ibu tidak sempat melihat aku membesar menjadi
’gentleman’. Ibu tidak tahu hidup aku bagaimana diluar negara sana. Jadi ibu
memilih jalan ini untuk berkomunikasi dengan ‘dalaman’ aku.
Pisang goreng tadi sudah sejuk. Foto yang ibu
hulurkan aku pulangkan kepada ibu. Meremang nak tenung lama-lama. Bukan tidak
sedia, bukan tidak mahu..Cuma,mungkin, love doesn’t struck me yet?
Tapi wanita ajnabi tu..
Menghitung
detik-detik yang berlalu
Aku merenung bekal makanan itu. Rasa nak cuba
sesuap, tetapi perut aku tidak mahu menerima apa-apa dek kerna debar di jiwa.
Nasi putih berlaukkan ikan patin masak lemak. Kali ini tidak separuh, penuh
bekal makanan itu terisi. Aku membaca berulang-ulang nota yang dikepilkan
bersama.
‘’Lets grow old together and enter jannah
together :) “
Malu. Gembira. Berdebar. Semualah.
Malu. Gembira. Berdebar. Semualah.
InsyaAllah dalam beberapa ketika lagi, aku
bakal disatukan dengan separuh jiwaku lagi. Aku tahu selepas itu langit tidak
akan selalu cerah, tetapi kelam jua bukanlah selamanya.
Moga Allah redha.
-ditulis dua jam sebelum solemnization-
tammat.
p/s:Selesai sebuah nukilan jiwa, aku membuka laci meja belajar. Laci tempat segala khazanah aku simpan. Jarang sekali aku menulis, tetapi ada satu nota hati yang aku hasilkan sewaktu di tahun tiga sebagai pelajar perubatan. Nota hati aku tulis dikala diriku waktu itu terasa buntu. Satu nota hati pemujuk jiwa.
“tak mengapa tercungap-cungap sekarang, tak mengapa penat-penat sekarang, di akhirat sana kita berehat.
Persatuan bukan liabiliti tapi aset!
Persatuan bukan ajnabi tetapi separuh dari jiwaku!
Aku tersenyum sendiri. Dulu dikala aktif berpersatuan, aku semat di dada bahawa persatuan itu separuh dariku.Yalah, sebagai penggagah semangat sepanjang waktu berkhidmat. Jatuh bangkit persatuan aku paling kuat kena tempias! Itu yang sering aku ingatkan pada diri.
Apa yang membina separuh darimu?
[Wan Ajeerah, Ketua Helwi PERMAI 14/15]